Acara Terkini :

Permainan Tradisional

1. Wau Bulan

wau

Hakikatnya penduduk negeri Kelantan menjadikan permainan wau sebagai salah satu permainan tradisional semasa lapang. Layang-layang atau wau ini akan melayang-layang di udara setelah ia dinaikkan. Permainan ini biasanya dilangsungkan selepas musim menuai, iaitu setelah petani-petani mempunyai masa yang terluang untuk mencipta dan menghias wau mereka. Terdapat banyak jenis wau seperti "wau kucing" , "wau merak", "wau bulan" dan lain-lain lagi. Untuk mencipta wau, kemahiran yang tinggi serta kesabaran yang sepenuhnya diperlukan. Sepanjang perjalanan menuju ke Pantai Cahaya Bulan, terdapat banyak kedai yang mengeluarkan dan menjual wau yang direka sendiri.

2.
Gasing

gasing

Gasing memainkan peranan yang penting sebagai hiburan tradisi rakyat Kelantan. Terdapat dua jenis gasing yang biasanya dimainkan oleh masyarakat melayu iaitu Gasing Uri dan Gasing Pangkah. Gasing Uri dibuat daripada logam timah dan kayu merbau. Paksinya dibuat daripada besi. Manakala kepalanya dibuat dari tanduk kerbau supaya gasing itu lebih cantik. Di dalam pertandingan, gasing yang berpusing lebih lama akan dianggap sebagai menang. Manakala Gasing Pangkah pula diperbuat dari kayu keranji. Banyak tempat-tempat yang mengusahakan perusahaan ini seperti di Kampung Berlian Kok Pasir dan Kampung Ana Jal Besar di Tumpat, Kampung Gertak Kechupu di Kota Bharu, dan Kampung Kubang Telaga di Bachok dan lain-lain lagi.

3. Kertok

kertok

Kertok adalah salah satu hiburan tradisional masyarakat Melayu Kelantan. Asal-usul permainan Kertok bermula apabila ia digunakan oleh penanam padi bagi tujuan menghalau burung pada musim padi masak. Pada masa kini alat ini mempunyai fungsi yang utuh dan boleh dikatakan terkenal dalam masyarakat tradisi Kelantan yang rata-ratanya ialah masyarakat petani. Kertok dibuat dengan menggunakan kayu Merbau atau Nibong yang dilubangkan di tengah-tengahnya dan diisi pula dengan tempurung kelapa tua yang telah diproses. Buah kelapa tersebut dibelah dua dan diletakkan sekeping papan yang dibuat daripada kayu Nibong iaitu sejenis kayu keras yang tahan dipalu. Papan ini dikenali sebagai “belira” atau daun dan diikat dengan getah pada tiang yang terletak dibahagian atas kertok. Kadang-kadang kertok ini dihiasi dengan panji-panji yang berbagai corak dan warna serta lukisan yang menarik. Kertok dimainkan di majlis-majlis keramaian atau majlis rasmi menyambut Pembesar Negeri. Ia boleh dimainkan oleh dua orang atau berkumpulan. Sesebuah kumpulan mengandungi 12 hingga 24 peserta. Paluan Kertok juga mempunyai lagu-lagu tertentu seperti Ropok, Anjol, Kuncah Manis, Gadoh, Kudarambak, Kedogong dan lain-lain. Penduduk sekitar Kampung Petani, Sering, Kota Bharu, Kampung Serdang, Pasir Mas, Kampung Chica, Bachok, Kampung Tempoyak, Bachok dan Kampung Gelang Mas, Pasir Mas, ini amat popular dalam perusahaan membuat kertok.

4.
Rebana Ubi

rebana ubi

Rebana Ubi merupakan salah satu permainan tradisi masyarakat Melayu Kelantan yang telah mula dimainkan kira-kira 3 abad dahulu. Pada masa silam, Rebana Ubi merupakan permainan masa lapang yang biasanya dimainkan setiap kali tamatnya musim menuai. Cara permainannya ialah setiap rebana ubi akan dipukul oleh dua orang dan boleh dimainkan secara paluan atau dipukul dengan tangan sahaja. Cara pertandingan pula ialah di dalam pertandingan satu pasukan akan memukul enam rebana dengan jumlah anggota seramai 12 orang, iaitu dua orang bagi setiap satu rebana. Pelbagai rentak akan diperdengarkan. Sebuah lagu akan dimainkan secara rasmi selama dua minit dan setiap satu-satu pasukan akan bergilir-gilir bermain. Pemberian markah dalam pertandingan adalah bergantung kepada ketahanan rentak, irama dan ragam yang berlainan serta keseragaman paluan itu sendiri. Perusahaan ini boleh didapati seperti di Kampung Petani, Sering, Kampung Banggol, Gelang Mas, Kampung Paloh, Palebang, Kampung Gelong dan lain-lain lagi.

5.
Wayang Kulit

wayang kulit

Wayang Kulit merupakan sejenis permainan tradisi rakyat Kelantan yang diwarisi sejak turun–temurun. Pertunjukkan Wayang Kulit biasanya diadakan di bangsal atau panggung lengkap dengan kumpulan muzik serta patung–patung wayang kulit yang terdiri daripada pelbagai watak. Tok Dalang merupakan orang yang melakonkan atau menggerakkan patung-patung wayang kulit mengikut kisah cerita yang hendak dipertunjukkan. Wayang kulit dimainkan pada waktu malam di majlis-majlis keramaian atau pesta. Kisah cerita yang diriwayatkan dalam permainan wayang kulit asalnya adalah dari epik Hindu tetapi kini telah diubahsuai dengan kebudayaan melayu tempatan. Perusahaan ini boleh didapati di Kampung Kemasin, Bachok, Kampung Pasir Chetok, Pasir Mas, Kampung Laut 2, Tumpat, Kampung Setek, Kota Bharu, Kampung Sri Tanjong, Tumpat dan lain-lain lagi.

6.
Sepak Bulu Ayam

sepak bulu ayam

Merupakan salah satu sukan rakyat yang biasanya dimainkan selepas musim menuai. Permainan ini dimainkan dengan membuat bulatan dan biasanya pemain akan menggunakan kaki, buku lali dan kepala untuk bermain dan mengagih-agihkan kepada pemain yang lain dalam bulatan tersebut. Pemenang pula akan dikira mengikut kumpulan yang paling banyak dapat mengagihkan bulu ayam tersebut kepada setiap pemain dalam bulatan mereka.

7. Seni Silat Tari

seni silat

Adalah seni mempertahankan diri bagi masyarakat melayu warisan paling berharga yang mana persembahannya diwarnai dengan kepelbagaian seni tarinya dan bunga tarinya. Perkataan silat itu sendiri menunjukan kesinambungan seni mempertahankan diri dengan ketangkasan dan kelembutan dalam pergerakan silat yang biasanya, dipersembahkan dalam majlis keramaian dan diiringi oleh paluan gendang tradisional dan keunikan alunan tiupan serunai.

8.
Congkak

congkak

Perkataan congkak dipercayai bermula dari perkataan ‘congak’ yang mana di dalam bahasa melayu lama bermaksud pengiraan menggunakan minda (mental calculation). Congkak mempunyai 14 lubang dan dibahagi kepada dua bahagian menjadi tujuh setiap bahagian dan ditambah satu lubang yang besar dikenali sebagai kampung untuk dua orang pemain. Setiap pemain akan mengawal dan mencongak ketujuh-tujuh lubang mereka untuk mendapat markah terbanyak dan pemenang dikira apabila bilangan guli atau buah yang terbanyak dalam lubang kampung mereka di akhir permainan nanti.

Share

Telah dikemaskini pada : 3 Mac 2014



[Dasar Privasi] [Dasar Keselamatan] [Soalan Lazim] [Bantuan W3C]